Persembahan boria adalah
sejenis teater yng amat popular di negeri utara Malaysia,
terutama Pulau Pinang. Persembahan boria mempunyai dua
segmen iaitu sketsa dan nyanyian yang diketuai seorang tukang
karang (biasanya akan memegang tongkat/ baton ketika menyanyi)
dan diringi Sailor yang terdiri lebih daripada enam orang di
belakang tukang karang yang akan menyanyi dengan mengulangi
rangkap pertama nyanyian tukang karang.
Asalnya persembahan boria
turut dikaitkan dengan peristiwa Karbala di Timur Tengah, iaitu
peristiwa pembunuhan Saidina Hussein oleh Muawiyah Abi Suffian
dan dibawa masuk ke Tanah Melayu oleh tentera British berfahaman
Syiah dari India ke Pulau Pinang seawal abad ke-19, selain ada
yang mendakwa persembahan asal ini berasal dari India menerusi
kegiatan perdagangan oleh pedagang India Muslim suatu ketika
dulu.
MELEKAT
KUAT
Kesannya paling melekat kuat kini di
kalangan masyarakat Melayu Pulau Pinang.
Dalam boria ada unsur lakonan,
lawak jenaka, nyanyian, muzik serta tarian. Unsur ini
digarap menjadi persembahan yang mempunyai struktur istimewa.
Boria pada asalnya dilakonkan lelaki saja. Namun apabila
ia sampai ke Tanah Melayu, persembahannya bertukar corak dan
pesertanya pula ialah lelaki dan perempuan serta ceritanya
mengikut selera masyarakat tempatan.
Lakonan dalam boria
menampilkan lawak jenaka yang menyentuh isu semasa dan terkini.
Seacara tidak langsung, ia menjadi saluran hiburan yang
mempunyai mesej dan sensitiviti tersendiri.
Persembahan sketsa di
permulaan mestilah ada pencadang, pembangkang dan penasihat.
Lagu yang dipersembahkan dalam boria mestilah dalam bentuk
rangkap karangan yang hujung suku katanya setiap rangkap itu
hendaklah sama dan berkait dengan sketsa.

Peralatan muzik yang digunakan dalam
persembahan boria tidaklah begitu khusus. Aspek penting ialah
keupayaan pemuzik membawa irama yang dapat mengiringi nyanyian tukang
karang. Sebab itulah juga kadang-kadang alat muzik digunakan
hanyalah gendang dan biola.
Bagaimanapun, lebih banyak alat muzik
dapat digunakan semakin baiklah persembahan berkenaan. Antara alat
muzik yang sering digunakan ialah violin, gambus, marwas, tabla, simbal,
gendang, akordion dan harmonika. Hubungan antara pakaian, muzik,
dialog dengan cerita yang dimainkan ada kaitan dengan cerita Arab, maka
pakaian yang digunakan adalah ala Arab. Muzik dan tarian dimainkan
pun mirip bentuk Arab. Malah bahasa yang digunakan pun dalam
dialek Arab.
Boria boleh diiringi kumpulan muzik
atau terkini menerusi 'minus one'. Lagu boria pula bebas, ia boleh
dicipta atau digubah daripada lagu sedia ada asalkan sesuai mengikut
ciri persembahan boria.
Sumber:
B * POP (Berita Minggu,
2 September 2012)
No comments:
Post a Comment